
MARUDI: Lebih 1,000 penduduk sekitar Marudi menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Daerah Marudi yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Pemindahan, di sini, malam tadi.
Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.
Dalam teks ucapan yang dibacakan, Penguang berkata majlis seumpama itu menjadi platform penting untuk masyarakat berkumpul, beramah mesra serta mengeratkan hubungan dan perpaduan.

“Keunikan Marudi terletak pada keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama yang saling menghormati serta bekerjasama,” katanya.
Beliau berharap semangat perpaduan itu terus diperkukuh, sekali gus menjadikan Marudi contoh bahawa kepelbagaian adalah kekuatan untuk mencapai kemajuan.
Penguang turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat atas pemanfaatan Dewan Masyarakat Kampung Pemindahan sebagai pusat komuniti bagi pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pembangunan dan kesejahteraan awam terus dilaksanakan, termasuk penyaluran peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada kampung Melayu, masjid, surau dan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Baram.
“Inisiatif ini diharap dapat memperkasa aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan di kawasan ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada infrastruktur, sebaliknya merangkumi aspek kesejahteraan sosial, kesihatan awam dan keharmonian masyarakat.
Pada majlis itu, Jubir Alwi memenangi kategori pakaian lelaki terbaik, manakala Zarah Sidi bagi pakaian wanita terbaik dan Kampung Pemindahan dipilih sebagai pemenang gerai terbaik.
Majlis anjuran Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Marudi (JATAIM) itu turut disertai tujuh kampung Melayu, selain dihadiri ketua masyarakat, wakil agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Oleh Jiku Juguong