Rumah terbakar 80 peratus di Simpang Igu Tamin

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba menjalankan operasi pemadaman selepas sebuah rumah konkrit di Simpang Igu Tamin, Jalan Stapang, Sibu, terbakar awal pagi tadi.

SIBU: Sebuah rumah konkrit di Simpang Igu Tamin, Jalan Stapang, di sini terbakar sekitar 80 peratus awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), panggilan mengenai kejadian itu diterima pada 5.48 pagi sebelum Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau mengerahkan tujuh anggota bersama sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) ke lokasi.

“Pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, PBK I Muahamad Nurfaiz Abdullah, tiba di lokasi pada 6.26 pagi.

KEBAKARAN memusnahkan sekitar 80 peratus sebuah rumah konkrit di Simpang Igu Tamin, Jalan Stapang, Sibu, awal pagi tadi.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah rumah berstruktur kekal berkeluasan sekitar 6.10 meter × 4.57 meter terbakar sekitar 80 peratus.

“Tiada penghuni berada di rumah berkenaan ketika kejadian berlaku,” katanya.

Mengulas lanjut, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran gulung hos dan satu nozel air daripada jentera.

SEBUAH rumah konkrit di Simpang Igu Tamin, Jalan Stapang, terbakar sekitar 80 peratus.

“Kebakaran berjaya dikawal pada 6.33 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 6.55 pagi.

“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya.