PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU-15) dah berlalu. Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 23 daripada 31 kerusi Parlimen, bertambah berbanding kemenangan 19 kerusi pada PRU-14 2018.
Begitu pun, kedengaran rintihan dalam GPS terutama membabitkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kerana berlaku tindak-tanduk yang tidak sepatutnya wujud membabitkan sesama sendiri dalam parti.
Dikatakan ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tertentu tidak membantu kempen seperti diharapkan. Malah, ada ADUN dikatakan tidak menggerakkan sepenuhnya jentera parti masing-masing kerana sebab tertentu yang hanya mereka sendiri sahaja tahu. Mungkin kerana ingin sabotaj atau mencari keuntungan peribadi.
Malah, ada dalam kalangan ADUN tertentu berkempen di kawasan lain ketika PRU-15 yang lalu. Mereka sepatutnya ‘berkampung’ di kawasan masing-masing sepanjang masa untuk berkempen bersama calon Parlimen. Untuk rekod, ADUN adalah Ketua Cawangan PBB di kawasan masing-masing dan merupakan Ketua Jentera Parti sewaktu kempen yang bertanggungjawab mengerakkan jentera parti sepenuhnya.
Tidak pasti sama ada Ibu Pejabat PBB akan menjalankan ‘post-mortem’ atau siasatan dalaman untuk melihat sejauh mana setiap Ketua Cawangan mengerakkan jentera parti masing-masing yang terdiri daripada kalangan Bapa, pergerakan Wanita dan Pemuda pada PRU-15 baru-baru ini. “Perkara ini perlu diketahui oleh pucuk pimpinan parti PBB. Ada ADUN tidak jujur membantu,” kata seorang jentera kempen PBB di kawasan terbabit.
Dalam keadaan sekarang, pucuk pimpinan parti PBB perlu tahu kesetiaan ahli parti tanpa mengira seseorang itu menteri, timbalan menteri atau ADUN. Sikap bagaikan sabotaj sesama sendiri amat berbahaya dalam parti. Setiap orang harus jujur dan ikhlas dalam membantu demi kemenangan calon. Oleh itu, mereka harus telus dan berbincang dengan calon bagaimana kempen dijalankan khususnya dari segi pelaksanaan program sepanjang kempen.
Parti PBB perlu ada jawatankuasa disiplin untuk menyiasat semua perkara berkaitan tingkah laku ahli dari peringkat atasan hingga ke bawah supaya segala aspirasi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk terus memantapkan PBB dan GPS tidak terhalang oleh sikap pentingkan diri sendiri sesetengah ahli.
Jika jawatankuasa disiplin sudah ada, ia perlu digerakkan supaya lebih aktif dalam usaha mendisiplinkan ahli parti. Jika tidak, budaya politik Semenanjung Malaysia, dikhuatiri meresap dalam parti iaitu sabotaj sesama sendiri, tikam belakang, tuduh menuduh secara terbuka. Apakah kita mahu budaya politik seperti ini menjalar ke Bumi Kenyalang?
Jawatankuasa disiplin ini penting untuk bertindak jika ada sebarang salah laku ahlinya terutama tindak-tanduk yang bertentangan dengan disiplin parti. Contoh yang ketara sebelum ini seperti petisyen mahu seseorang Ahli Parlimen tidak dicalonkan semula untuk bertanding dalam PRU-15, tetapi ternyata usaha itu gagal.
Dalam setiap pilihan raya terutama PRU-15, setiap ADUN di dalam kawasan Parlimen perlu berpadu tenaga untuk bersama- sama calon Parlimen, bukan membelakangkannya dalam setiap kempen. Calon harus tahu bagaimana keseluruhannya jentera parti digerakkan khususnya dari segi program dan aktiviti kempen.
Malah, ADUN juga perlu telus dalam setiap perbelanjaan dan gerak kerja, bukan tanpa memberitahu calon Parlimen apa yang dikerjakan. Ini menyebabkan berlaku ketidakfahaman antara ADUN dan Parlimen. Apa yang di khuatiri adalah bila selesai pilihan raya, calon akan dicari oleh pelbagai pihak yang membuat bermacam-macam ‘tuntutan’ yang tidak diketahuinya.
Bukankah mereka semua berada dalam bumbung parti yang sama? Apakah dengan berbuat demikian, ada sesuatu yang ingin disembunyikan untuk kepentingan sendiri?
Ketidakjujuran, tidak telus, tidak amanah adalah ‘musuh nombor satu’ PBB dan GPS. Sikap seperti ini perlu disedari awal, daripada merebak bagaikan ‘kanser’ dalam parti yang mungkin mendatangkan musibah pada masa akan datang.
Setakat sengaja memuat naik gambar bersama calon Parlimen atau gambar bersama jentera kempen dalam Facebook untuk ‘menunjukkan’ sesuatu tidak perlu jika sebenarnya tidak membantu kempen calon di peringkat bawahan. Usah ‘bersandiwara’ kerana ‘sudah terang lagi bersuluh’ rakyat tahu dan matang dalam menilai.
Tulisan ini mungkin agak keterlaluan bagi sesetengah orang tetapi ia terpaksa didedahkan untuk dijadikan iktibar supaya perkara ‘negatif’ seperti ini tidak berulang. Kita tidak mahu seperti bidalan Melayu menyebut, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Meskipun PRU-15 sudah seminggu berlalu, cakap-cakap mengenai isu ini masih berterusan.
Ia tiada penyudah kecuali pihak atasan parti PBB turun padang menyiasat apa kejadian sebenar untuk dirungkai, diatasi dengan sebaik mungkin. Membiarkannya adalah ibarat barah yang boleh merebak dan merobek parti itu sendiri di peringkat cawangan. Cari jalan penyelesaian dan cari ‘dalang’ sebenar.
Jangan takut untuk bertindak walaupun seseorang itu agamawan atau terpelajar kerana sikap negatif seperti ini amat berbahaya untuk terus berada dalam parti. Perbezaan pendapat dalam parti yang sama adalah perkara biasa tetapi ‘menikam belakang’ sesama sendiri dalam parti perkara ‘luar biasa’.
Sebelum terlambat, perkara ini perlu ditangani segera. Ia bukan berlaku di seluruh negeri tetapi di cawangan tertentu.
Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan,
Bersandiwara tidak nampak,
Lama-lama baru ketahuan.
• Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak