
SIBU: Penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Sibu akan dipindahkan sementara ke RSK Kuching dalam masa terdekat ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan premis berkenaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata langkah itu penting untuk memastikan kemudahan yang disediakan berada dalam keadaan selesa, selamat dan baik untuk jangka masa panjang.
“Insya-Allah, para penghuni akan ditempatkan semula ke RSK Sibu setelah kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan selesai,” katanya ketika berucap pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu, hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihati waris keluarga untuk mengunjungi RSK Kuching sekiranya merancang untuk melawat waris mereka sepanjang tempoh pemindahan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan kebajikan rakyat, khususnya warga emas di bawah jagaan institusi, dengan menyediakan persekitaran yang selamat, selesa dan kondusif.

Dalam majlis sama, Fatimah menyampaikan sumbangan RM100 beserta hamper bernilai RM80 kepada penerima bantuan bulanan kebajikan yang berbangsa Cina di Bahagian Sibu, melibatkan Daerah Sibu, Kanowit dan Selangau, seramai 1,708 penerima.
“Bagi penerima bantuan yang tidak hadir pada majlis ini, wang sumbangan RM100 akan dikreditkan terus ke akaun bank mereka,” katanya.
Beliau juga menggesa penerima bantuan agar menggunakan sumbangan tersebut dengan bijaksana dan menjadikannya dorongan untuk memperbaiki taraf hidup.

“Semoga bantuan ini mengingatkan kita semua tentang pentingnya sikap bersyukur dan saling membantu,” tambahnya.
Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad, wakil Residen Bahagian Sibu, Nursyarmila Jeruis, Pegawai Daerah Sibu, Tsong Chow Soon, Temenggong Stanley Geramong Bandar, dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu, Uwieng Gimos.
Oleh Tarani Lanting