

MARAK…Kelihatan api sangat marak memusnahkan sebuah rumah dalam kebakaran di Lorong Desaras 1A/4, Jalan Perdana di Miri malam tadi.
MIRI: Sebuah rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Desaras 1A/4, Jalan Perdana di sini malam tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 10.00 malam itu, bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa ataupun kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong,Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.09 malam.
Katanya, sepasukan bomba dari BBP Lutong dan dibantu BBP Lopeng ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur separuh kekal berkeluasan 30×40 kaki telah terbakar 80 peratus.
“Operasi pemadaman terus dilakukan menggunakan satu salur bantu mula, satu ozel 200 kaki dan sumber air pili bomba.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kemerakan api ke rumah sebelah yang jaraknya agak rapat,” katanya.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling