PETRA JAYA: Kediaman Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, antara yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh di Miri susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Menurut Lee, ia merupakan sebahagian daripada beberapa kejadian tanah runtuh di bandar raya itu yang kini telah meragut beberapa nyawa.
Katanya, tanah runtuh yang berlaku di kediamannya menyebabkan jalan masuk ke rumahnya tidak dapat dilalui.
“Keadaannya (tanah runtuh yang berlaku) sangat teruk. Tanah runtuh itu menghalang akses ke rumah saya,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Selain kawasan kediaman beliau, beberapa lagi kawasan di Miri turut mengalami tanah runtuh, termasuk di Kampung Lereng Bukit, yang melibatkan sekurang-kurangnya empat rumah.
Susulan insiden itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri telah mengadakan mesyuarat kecemasan dan mengaktifkan Bilik Operasi Pengurusan Bencana Miri yang kini beroperasi 24 jam.
Katanya, semua pasukan tindak balas kecemasan dan agensi berkaitan turut digerakkan bagi menangani kes tanah runtuh serta menjalankan rondaan di kawasan berisiko.
Dalam pada itu, hujan lebat turut menyebabkan banjir di beberapa kawasan rendah di sekitar Miri.
Bagaimanapun, menurut Lee, keadaan banjir tidak terlalu serius, dengan air hanya memasuki kawasan anjung rumah.
“Bagi mengurangkan kesan banjir, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), serta Majlis Bandaraya Miri telah turun padang untuk menilai situasi dan mengambil langkah segera, termasuk membersihkan saliran yang tersumbat,”katanya.
Lee memberi jaminan bahawa pihak berkuasa tempatan dan pasukan kecemasan sedang berusaha menangani situasi dengan sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
Oleh SHAHRUL QAIZAT dan MOHD NEENATUL AIZAL