

RUMAH RUNTUH… Keadaan rumah yang runtuh di perkampungan atas air di Awat-awat.
LAWAS: Sebuah rumah di Kampung Masjid Lama, Awat-Awat, Lawas runtuh ke dalam air di perkampungan atas air tersebut.
Menurut sumber, rumah berkenaan didiami 10 penghuni dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku semasa insiden tersebut pada 10.00 pagi tadi.
Dua mangsa merupakan anak pemilik rumah iaitu Izzan Syahrizzal Awang Midun, 18, dan adiknya Izzan Syahruddin Awang Midun, 12, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap rumah.
Seorang penduduk tempatan menceritakan bahawa kejadian itu berlaku sewaktu angin kencang melanda lorong rumah tersebut.
Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Lawas bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Lawas telah tiba di lokasi dan keadaan dilaporkan terkawal.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, mengesahkan pasukan polis dari Balai Polis Daerah Kecil Sundar turut berada di lokasi untuk menjalankan siasatan.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak bersesak ke kawasan runtuhan demi keselamatan mereka.
Baitulmal Daerah Lawas turut mengesahkan telah menerima laporan dan akan ke lokasi pada petang ini untuk menilai dan menyalurkan bantuan awal.
Oleh Adeng Edrus