WASHINGTON: Rumah Putih semalam mengesahkan bahawa Presiden Joe Biden akan menghadiri majlis pelantikan Donald Trump pada 20 Januari, sekali gus memulihkan tradisi demokratik penting yang diabaikan bakal presiden itu sebelum ini, lapor Agensi Anadolu.
“Presiden (Biden) berjanji untuk menghadiri majlis pelantikan sesiapa sahaja yang memenangi pilihan raya. Beliau dan Wanita Pertama akan menunaikan janji itu dan menghadiri majlis pelantikan berkenaan.
“Beliau melihat langkah ini sebagai satu demonstrasi penting dalam menegakkan nilai demokratik dan menghormati kehendak rakyat, sambil memastikan peralihan kuasa yang teratur dan berkesan,” kata jurucakap Andy Bates kepada wartawan.
Trump sebelum ini tidak menghadiri majlis pelantikan Biden pada 2021, sambil terus membuat dakwaan tidak berasas bahawa keputusan pilihan raya 2020 telah dimanipulasi, meskipun tiada bukti kukuh dan telah ditolak berkali-kali oleh mahkamah.
Trump juga tidak menjemput Biden ke Rumah Putih selepas kekalahannya dalam pilihan raya.
Biden memulihkan tradisi itu awal bulan ini apabila beliau menerima kunjungan Trump di Rumah Putih untuk perbincangan, ketika presiden dan pegawai kanannya berikrar untuk memastikan “peralihan kuasa yang lancar”. – Bernama – AA