
BETONG: Rumah pekerja milik syarikat berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Saka, di sini, musnah kira-kira 85 peratus dalam kejadian kebakaran pagi tadi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 10.20 pagi.
Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikejarkan ke lokasi kejadian dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bagi menjalankan operasi pemadaman.
Komander Operasi, Abang Muhd Fhazil Abang Abdul Manaf, berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati kebakaran melibatkan rumah pekerja berstruktur separuh kekal berkeluasan kira-kira 120×20 kaki persegi.
“Bangunan tersebut mempunyai 24 bilik dan dihuni 14 lelaki dewasa berusia lingkungan 40 hingga 51 tahun.
“Ketika pihak bomba tiba, kebakaran telah memusnahkan kira-kira 85 peratus struktur bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan kesemua 14 penghuni berjaya menyelamatkan diri.
PKO memulakan operasi pemadaman menggunakan teknik ‘RECEO’ dengan satu aliran salur bantu mula serta satu aliran sepanjang 200 kaki menggunakan satu nozel, dengan sumber air diperoleh daripada tangki jentera.
Menurut kenyataan itu, pihak bomba terpaksa berulang-alik mengisi air dari pili bomba berhampiran kerana tiada pili bomba di lokasi kejadian.
Operasi pemadaman diteruskan sehingga api berjaya dipadam sepenuhnya sebelum anggota menjalankan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.
Turut berada di lokasi ialah lima petugas dari Sarawak Energy Berhad (SEB) serta kira-kira 20 wakil pihak syarikat terbabit bagi membantu melancarkan operasi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Oleh Adi Safarman