
PUSA: Rumah pekerja ladang sawit 10 pintu di Ladang Sawit Enggang, Pusa, musnah sepenuhnya dalam kebakaran pagi tadi, namun kesemua 10 penghuni dilaporkan selamat.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.58 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dengan bantuan BBP Betong ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 42 kilometer dari balai.

PGO memaklumkan kebakaran membabitkan struktur rumah pekerja tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera untuk mengawal kebakaran.
“Api berjaya dipadam sepenuhnya pada 11.05 pagi dan operasi tamat pada 11.45 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.

Seramai 12 anggota dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi ini.
Kebakaran tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa kerana kesemua penghuni, terdiri daripada lapan lelaki dan dua perempuan, sedang berada di tempat kerja ketika kejadian berlaku.

Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan bomba.
Oleh Adi Safarman