
SELANGAU: Sebuah rumah panjang lima pintu hampir musnah dalam kebakaran di Rumah Lampong, Ulu Sikat, di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 11.07 malam, sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan rumah panjang yang terdiri daripada lima pintu, yang mana dua pintu daripadanya terbakar 100 peratus, sepintu terbakar 90 peratus dan dua pintu lagi terbakar 100 peratus di bahagian dapur sahaja,” jelasnya menerusi kenyataan, malam tadi.
Katanya, pihak bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan sumber air dari pili bomba berdekatan, kerja-kerja overhaul dijalankan sehingga api padam sepenuhnya.
“Penghuni berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan semasa kejadian. Punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba,” katanya.
Oleh Akun Giman