
KRIAN: Penduduk Rumah Panjang Rumah Enterie Kunchet, Mapar, Kaki Wong kini mampu menarik nafas lega selepas projek pembinaan benteng penghadang hakisan tanah runtuh diluluskan kerajaan dengan peruntukan bernilai RM950,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik hadir menyempurnakan upacara ringkas penyerahan tapak projek berkenaan yang bakal memberi manfaat kepada 16 pintu rumah panjang tersebut.
Beliau berkata, projek ini amat penting kerana kawasan berkenaan berdepan risiko bahaya setiap kali hujan lebat sehingga menjejaskan keselamatan penduduk.
“Apabila benteng ini siap kelak, ia akan memberikan kelegaan kepada semua penghuni yang selama ini hidup dalam kebimbangan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Projek ini diluluskan melalui Tabung Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sebagai bukti komitmen kerajaan Sarawak membela keselamatan rakyat di kawasan luar bandar.
Friday turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas keprihatinan meluluskan peruntukan besar demi kesejahteraan masyarakat di kawasan Krian.
Turut hadir, wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Betong Muazzim, Penghulu Josephine Entira, Tuai Rumah Enterie, wakil kontraktor dan pegawai dari Pusat Khidmat DUN N39 Krian.
Oleh Adi Safarman