
MARUDI: Beberapa rumah panjang di Daerah Beluru masih ditenggelami air ekoran hujan lebat berterusan dan limpahan air dari Sungai Bakong.
Seramai 85 penduduk dari 22 pintu Rumah Panjang (Rh) Anthony Kedit, Logan Manok Bakong, Baram terjejas apabila kediaman mereka dilanda banjir sejak beberapa hari lepas.
Melalui perkongsian diaplikasi WhatsApp, Tuai Rumah (TR) Anthony Kedit melaporkan rumah panjang mereka ditenggelami air dengan ketinggian lima kaki tujuh inci dan beberapa jalan ke rumah panjang tidak dapat digunakan kerana air terlalu dalam dan seluruh kawasan panjang ditenggelami air.
Sementara itu 392 penduduk daripada 83 pintu, Rh Egang Sami, Sungai Selepin bawah Bakong menerima nasib yang sama.
Menurut laporan TR Egang kawasan rumah panjang mereka ditenggelami air setinggi empat kaki, dua inci akibat hujan lebat berterusan sejak 28 Januari lepas.
Setiausaha JKK Kampung Melayu Beluru Bakong berkata menyatakan seramai 605 penduduk daripada 121 pintu Kampung Melayu Bakong turut terjejas banjir.
Dalam pada itu beliau memberitahu daripada 121 pintu, sebanyak 20 pintu telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Masyarakat Beluru, tiga pintu dipindahkan di PPS SMK Bakong dan 18 pintu dipindahkan di rumah saudara masaing-masing.
Katanya, ketinggian paras air mencecah ke paras lebih tujuh kaki dan sehingga 10.00 pagi hari ini, kawasan Kampung Melayu Beluru Bakong masih terjejas banjir.
Oleh Jiku Juguong