Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Rumah panjang berpotensi jadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa
  • Tengah
  • WILAYAH

Rumah panjang berpotensi jadi produk pelancongan bertaraf antarabangsa

Utusan Sarawak 5 hours ago
UPACARA MIRING….(dari kiri) Ouyang, Tiong dan Lau bersama para tetamu turut menyertai upacara tradisional miring.

SIBU: Rumah panjang di Sarawak mempunyai potensi besar untuk terus dipromosikan sebagai produk pelancongan komuniti bertaraf antarabangsa menerusi Program Homestay Experience Malaysia kerana menawarkan pengalaman budaya yang unik kepada pelancong.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, pelancong masa kini bukan sekadar mencari lokasi menarik untuk bergambar, sebaliknya mahu merasai sendiri pengalaman budaya yang mempunyai nilai dan cerita tersendiri.

Menurutnya, rumah panjang di Sarawak menawarkan identiti, sejarah dan budaya yang unik, sekali gus menjadikannya produk pelancongan komuniti bernilai tinggi di peringkat antarabangsa.

“Melalui Program Homestay Experience Malaysia, pelancong bukan sahaja dapat menikmati makanan tradisional dan menyaksikan persembahan budaya, malah berpeluang tinggal bersama komuniti rumah panjang, berinteraksi dengan penduduk setempat dan merasai sendiri kehidupan masyarakat Dayak.

“Pengalaman seperti ini tidak dapat ditemui di banyak tempat lain di dunia,” katanya ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Gawai 2026 di Rumah (Rh) Esther Patrick Jaya.

Sambutan itu turut dihadiri oleh Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing bersama isterinya Song Xiao Mei, pelancong antarabangsa, peserta media FAM Trip, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat.

Tiong berkata, sambutan Hari Gawai bukan sekadar perayaan masyarakat Dayak, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan keunikan budaya Sarawak kepada pelawat dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, kehadiran pelancong antarabangsa dan delegasi asing pada sambutan itu membuktikan Malaysia merupakan sebuah negara yang aman, stabil dan harmoni dengan rakyat pelbagai kaum dan budaya hidup dalam suasana saling menghormati.

Dalam kunjungan tersebut, beliau bersama para tetamu turut menyertai upacara tradisional miring yang mencerminkan nilai kesyukuran, kesejahteraan dan harapan untuk kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat Dayak.

Selain menghadiri sambutan di Rumah Esther Patrick Jaya, Tiong turut melawat Rh Bolbo Kamat Ubong dan Rh Bunsie Tiboh.

Menurutnya, rumah-rumah panjang tersebut membuktikan masyarakat Dayak mampu bergerak seiring dengan pembangunan moden tanpa mengabaikan adat resam, tradisi dan warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.

Beliau berharap lebih banyak rumah panjang di Sarawak menyertai Program Homestay Experience Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong serta mewujudkan peluang ekonomi mampan kepada komuniti setempat menerusi aktiviti pelancongan berasaskan komuniti.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Gawai kepada seluruh masyarakat Dayak dan berharap sambutan ini terus memperkukuh perpaduan, keharmonian serta semangat saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia,” ujar beliau.

Turut hadir ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: SUPP perkukuh persiapan menjelang PRN Sarawak
Next: Kunjungan Gawai perkuatkan lagi perpaduan – Gerawat

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.