
SARATOK: Penyerahan rumah panjang baharu di Tembawai Kapok, Awik membawa makna yang amat besar kepada penduduk Rumah Ason Sandom apabila mereka kini bakal menyambut perayaan Gawai Dayak tahun ini dalam suasana lebih ceria dan selesa di kediaman masing-masing.
Dengan siapnya pembinaan semula rumah panjang itu, penduduk yang sebelum ini terkesan akibat kebakaran pada 2021 kini akhirnya dapat menarik nafas lega selepas melalui tempoh sukar tanpa tempat tinggal yang sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, majlis ringkas penyerahan rumah di bawah Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) yang diadakan semalam menjadi simbolik kepada usaha berterusan kerajaan dalam membela nasib rakyat.
Menurut beliau, kebakaran yang memusnahkan 20 pintu rumah panjang sebelum ini telah menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal, sekali gus menuntut tindakan segera bagi memastikan mereka kembali memiliki kediaman yang selamat.

Katanya, kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah meluluskan bantuan kewangan bagi membina semula rumah panjang berkenaan demi kesejahteraan penduduk terjejas.
“Dengan siapnya pembinaan rumah panjang ini, penduduk kini dapat menikmati kediaman yang lebih selesa, selamat dan terjamin,” katanya.
Friday turut melahirkan rasa gembira melihat senyuman penduduk yang sekian lama menantikan rumah baharu tersebut, sekali gus menyifatkan penyerahan itu sebagai detik yang amat bermakna menjelang sambutan Gawai tahun ini.

Tambahnya, sambutan Gawai 2026 pastinya lebih bermakna buat penduduk apabila mereka dapat meraikannya dalam suasana lebih harmoni, selesa dan penuh kesyukuran di rumah baharu.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan komitmen berterusan pihaknya dalam menyediakan infrastruktur berkualiti, selamat dan berdaya tahan, selari dengan usaha menyokong pembangunan mampan negeri.
Majlis penyerahan tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid bersama pegawai Pejabat Daerah Saratok serta wakil Jabatan Kerja Raya Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman