
MIRI: Rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran di Lorong Desaras 1A/4, Jalan Perdana malam tadi.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 10.00 malam itu, menyebabkan seorang lelaki berusia 65 tahun mengalami kecederaan di bahagian belakang akibat terjun dari tingkap dapur rumah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 10.09 malam.

Katanya, sepasukan bomba dari BBP Lutong dan dibantu BBP Lopeng ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah struktur separuh kekal berkeluasan 30×40 kaki telah terbakar lebih kurang 100 peratus.
“Kebakaran turut memusnahkan sebuah kenderaan,” katanya.
Henry berkata, operasi pemadaman terus dilakukan menggunakan satu salur bantu mula, satu nozel 200 kaki dan sumber air pili bomba.
“Pasukan bomba berjaya mengawal kemarakan api ke rumah sebelah yang jaraknya agak rapat,” katanya.
Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Oleh Liong Chai Ling