
KOTA SAMARAHAN: Rumah di Kampung Asajaya Laut musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku malam ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.16 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai.
Menurut Komander Operasi, PBK I Nor Aini Usop, setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan rumah berstruktur separuh simen dengan anggaran keluasan 30×60 kaki persegi yang sedang terbakar sepenuhnya.
“Kebakaran tersebut turut merebak dan memusnahkan dua kereta yang berada berhampiran rumah berkenaan, dengan kedua-duanya terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pemadaman dijalankan dengan bantuan anggota dari BBP Kota Samarahan bagi mengawal keadaan serta mengelakkan api daripada merebak ke kawasan sekitar.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. Kerja kerja pemadaman dan pengawalan masih diteruskan di lokasi kejadian ketika laporan ini disediakan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.