
MIRI: Sebuah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Beluru – Long Teru, petang semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.27 petang.
Sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit EMRS telah dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah tidak kekal berkeluasan 60 x 90 kaki yang telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 6.08 petang.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba.
Oleh Liong Chai Ling