
BEKENU: Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Rumah Lingu, Pakut, Ulu Sibuti sebagai berusaha naik taraf rumah panjang yang telah berusia 30 tahun.
Pengumuman itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai di Rumah Lingu, Ulu Sibuti, malam tadi.
Menurut beliau, kerja naiktaraf rumah panjang ini penting demi meningkatkan aspek keselamatan penghuni rumah panjang tersebut.
“Projek tersebut akan diusahakan oleh Jawatankuasa Keselamatan Kemajuan Kampung (JKKK) dan akan dipantau oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.
“Saya difahamkan Rumah Lingu mempunyai 96 pintu dengan jumlah penduduk seramai 543 orang, sekali gus menjadikannya rumah panjang yang mempunyai bilangan pintu terbanyak di Daerah Subis,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, dengan jumlah pintu dan penduduk yang ramai, tugas seorang tuai rumah bukanlah mudah.
“Justeru, saya berharap seluruh penduduk Rumah Lingu terus memberikan kerjasama dan sokongan penuh kepada tuai rumah agar perpaduan dapat terus diperkukuhkan, sekali gus memudahkan usaha membawa pembangunan yang boleh dinikmati bersama,” katanya.
Turut hadir bersama ialah Penghulu Epat Bakar, Tr Andrew Abak, Tr Christopher Banyong, Kaunselor Hadijah Sheikh Kasim dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bekenu.
Oleh Adum Liu