

MIRI: Sebuah rumah kosong di Jalan Airport, Kampung Riam Jaya di sini musnah dalam satu kejadian kebakaran tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong yang tidak berpenghuni dengan anggaran keluasan 80 x 30 kaki persegi dan terbakar sekitar 80 peratus.
“Pasukan Keluaran Operasi kemudian membentangkan satu aliran sepanjang 800 kaki dengan satu nozel menggunakan sumber air dari pili bomba berhampiran bagi memadamkan kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi itu tamat sepenuhnya pada 2.50 petang.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling