

KUCHING: Sebuah rumah kosong jenis semi-D dua tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Stampin, di sini malam tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 8.21 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang digerakkan ke lokasi yang terletak sekitar empat kilometer dari balai.
“Pasukan dari BBP Tabuan Jaya turut dikerahkan sebagai bantuan bagi operasi pemadaman yang diketuai Komander Operasi, PBK I Abdul Hakim Abang Sufian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong struktur kekal dua tingkat dengan anggaran keluasan 30 x 45 kaki persegi yang terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Mengulas lanjut, api turut merebak ke rumah bersebelahan dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus pada peringkat awal.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak menjalankan kerja-kerja pemadaman dan ‘cooling’ menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua nozel serta satu hos reel bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
“Kebakaran berjaya dikawal dan hanya melibatkan bahagian tingkap rumah kedua dengan anggaran kebakaran sekitar 40 peratus,” jelasnya.
JPBM memaklumkan bahawa operasi pemadaman berjaya ditamatkan sepenuhnya selepas api dipadam dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca bara yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Seramai 16 anggota terlibat dalam operasi berkenaan dengan kekuatan dua jentera FRT. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Oleh Masrin Affirah