
MIRI: Sebuah rumah kosong musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Piasau Utara 4 awal pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, panggilan kecemasan diterima pada 12.55 pagi sebelum satu jentera FRT serta unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian, yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.
Pasukan tiba di lokasi pada 1.08 Pagi. Kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong berstruktur tidak kekal dengan anggaran keluasan 20 kali 40 kaki persegi dan didapati terbakar 100 peratus ketika pasukan bomba tiba.
Komander Operasi, PBK I Abdul Rahman, berkata pasukan pemadaman menggunakan dua aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada pili bomba berhampiran bagi mengawal dan memadam kebakaran.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 1.26 pagi sebelum kerja menyelenggara menyeluruh dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan di kawasan terlibat,” katanya.
Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.00 pagi.
Dalam kejadian itu, seramai lapan anggota terlibat dengan bantuan satu jentera FRT dan satu unit EMRS. Tiada agensi lain dilaporkan berada di lokasi.
Oleh Adum Liu