KUCHING, 8 Oktober: Sebuah rumah kosong satu tingkat yang dibina daripada gabungan bahan kayu dan konkrit bersama sebuah motosikal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Batu 10, Taman Landeh, di sini, petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.03 petang.
Susulan itu, sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan bantuan BBP Kota Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 4.30 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira 26 kilometer.
Menurut laporan, kebakaran melibatkan sebuah rumah satu tingkat berkeluasan 30 x 60 kaki serta sebuah motosikal dengan kemusnahan dianggarkan 100 peratus.
Rumah berkenaan dilaporkan tidak berpenghuni dan digunakan sebagai tempat penyimpanan barang.
Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 4.35 petang sebelum operasi ditamatkan pada 5.23 petang.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Bujang Ina dengan pemantauan Ketua BBP Siburan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Imran Sabri.
Sebanyak dua jentera bomba (FRT) dan sebuah kenderaan Hilux digunakan dalam operasi tersebut.




