
MIRI: Rumah di Jalan Almeria, di sini nyaris musnah selepas berlaku kebakaran kecil di bahagian hadapan pintu utama awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 3.53 pagi sebelum sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral dikerahkan ke lokasi sejauh kira-kira 11 kilometer (km).
“Setibanya pasukan di tempat kejadian pada 4.04 pagi, didapati berlaku kebakaran di bahagian hadapan pintu rumah pelapor serta melibatkan kenderaan jenis BMW yang terbakar kira-kira 30 peratus.
“Kebakaran berjaya dipadamkan oleh penghuni rumah sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, komander operasi kemudian mengarahkan pasukan melakukan pemeriksaan dan pemantauan lanjut bagi memastikan tiada cetusan kebakaran semula.
Operasi dikawal sepenuhnya pada 4.08 pagi dan tamat pada 4.40 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
Oleh Liong Chai Ling