
SIBU: Semua rumah ibadat di bandar ini digalakkan untuk membuka pintu kepada pengunjung pelbagai kaum dan agama sebagai usaha memupuk persefahaman serta memperkukuh perpaduan masyarakat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, kawasan bandar Sibu sendiri menjadi contoh keharmonian apabila pelbagai rumah ibadat berdiri bersebelahan antara satu sama lain, namun tetap menjadi tempat komuniti hidup bersama dalam aman.
“Saya berkunjung ke Gurdwara dan seterusnya ke Kuil ini. Ini adalah satu-satunya tempat beribadah bagi masyarakat Hindu dan juga masyarakat Sikh di bandar Sibu. Uniknya, di kawasan ini ada Masjid, Gurdwara, Kuil dan Gereja.
“Walaupun berbeza agama, kita masih boleh hidup bersama. Itu sangat-sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Persatuan Kuil Hindu Sibu di Kuil Sri Maha Mariamman dan Persatuan Kuil Sikh Sibu di Gurdwara Sahib Sibu, semalam.
Dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu turut memuji seni bina baharu Kuil Sri Maha Mariamman yang disifatkannya unik dan pertama seumpamanya di Sibu.
Menurutnya, masyarakat umum wajar mengunjungi kuil berkenaan sama seperti mereka mengunjungi masjid bersejarah seperti Masjid Al-Qadim Sibu.
“Kita lihat keunikan ini. Dengan cara itu barulah kita dapat memahami agama lain. Kita percaya pada agama kita sendiri, tetapi kita juga perlu menghormati agama lain.
“Mempercayai agama sendiri tidak bermaksud kita menolak menghormati agama lain. Itu adalah sebahagian daripada proses kepercayaan,” ujarnya.
Dr Annuar turut memaklumkan satu majlis keramaian akan diadakan di Kuil Sri Maha Mariamman bersempena sambutan Deepavali pada Oktober nanti, bagi membolehkan masyarakat pelbagai agama dan kaum turut serta.
Oleh Tarani Lanting