SIAPA sangka dengan kesibukan di tengah-tengah Bandaraya Kuching terselitnya sebuah cerita mengenai sebuah ‘Rumah Hantu’.
Salah seorang Pengasas The Haunted House Series (TAKUT) Dzaizul Hafiz Alimin, 38 berkata, ia adalah menjadi tarikan utama pelancong mahupun penduduk setempat untuk dijadikan salah satu tempat wajib dilawati di negeri ini.
“Setiap idea dan perancangan untuk melakukan The Haunted House Series ini sejak 2019 lagi. Disebabkan pandemik Covid-19 ia terpaksa ditunda.
“Setelah semuanya kembali seperti biasa, pihak pengurusan bersepakat meneruskan perancangan The Haunted House Series pada tahun ini,”jelas beliau ketika ditemui Utusan Sarawak baru-baru ini.
Jelas Dzaizul, bangunan ini menjadi pilihan kerana ada cerita disebaliknya kerana pihak pengurusan sendiri pernah mengalami perkara mistik di sini.
“Pemilihan Singgahsana Lodge ini juga dibuat kerana ia terletak berhampiran Tebingan Kuching yang merupaka tempat tumpuan pelancong.
“Usah bimbang, kami sentiasa mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan, melakukan sanitasi dan akan memastikan keselamatan para pengunjung menjadi keutamaan kami,” jelasnya lagi.
Tambahnya, The Haunted House Series berkonsepkan pertemuan semula semua hantu dengan menampilkan pelbagai jenis hantu dari luar dan dalam negara.
“Malah dekorasi setiap bilik serta jenis hantu yang ditampilkan akan bertukar setiap dua minggu supaya pengunjung tidak berasa bosan.
“Kami berharap dengan adanya tempat menarik dan aktiviti seperti ini dapat memberi kesan positif dan pengalaman yang menarik kepada semua. Sekiranya ada perkara yang perlu diperbaiki kami akan mengambil kira dan memperbaharuinya,” ujarnya.
Sementara itu, tinjauan Utusan Sarawak bersama orang awam yang mengalami sendiri pengalaman mengunjungi The Haunted House Series kesemuanya tekah memberi maklum balas positif.
Ini kerana, ia akan mampu menjadikan tempat tersebut sebagai salah satu tarikan di Kuching khususnya kepada pelancong luar nanti.
Aireen Sapian, 28 berkata, selain daripada aktiviti lain seperti menonton wayang, penduduk Kuching juga boleh mengunjungi dan merasai rumah hantu di tengah-tengah bandar.
Lain pula dengan Dzulharith 30 berkata, tahniah buat pihak penganjur kerana menjadikan Kuching mempunyai tempat mengerikan untuk dilawati selain merasai kenikmatan laksa Sarawak dan mee kolok.
“Pengalaman mengunjungi rumah hantu atau ‘haunted house’ yang mana seorang pengunjung disergah pelakon yang memakai kostum dan dandanan mengerikan kian menjadi satu kegiatan yang popular,” tambahnya.
The Haunted House Series dibuka setiap hari bermula jam 7.00 malam sehingga 12.00 tengah malam.
Oleh AZREEN KERIA