
SIBU: Sebuah rumah panjang sembilan pintu di Rumah (Rh) Gamang, Jalan Penasu di sini, hampir musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku petang ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.56 petang sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bersama bantuan dari BBP Sibu Sentral ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang berstruktur tidak kekal dengan kemusnahan dianggarkan mencecah 95 peratus.
“Komander operasi memaklumkan anggaran keluasan struktur yang terbakar adalah 180×150 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan empat pancutan air dari pam jentera dan pili bomba berhampiran.
Kerja-kerja pemadaman masih giat dijalankan setakat laporan ini disiarkan.
Oleh Tarani Lanting