KUCHING, 8 Oktober: Sebuah rumah dua tingkat di Batu 10, Taman Landeh, di sini, dilaporkan terbakar petang ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.03 petang.
Susulan itu, sepasukan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan dengan bantuan BBP Kota Sentosa digerakkan ke lokasi kejadian.
Pasukan bomba tiba di lokasi pada 4.30 petang selepas menempuh perjalanan kira-kira 26 kilometer.
Menurut laporan awal, kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat dan anggota bomba sedang menjalankan kerja-kerja mengawal serta memadam kebakaran.
Operasi diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Bujang Ina dengan pemantauan Ketua BBP Siburan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Imran Sabri.
Sebanyak dua jentera bomba (FRT) dan sebuah kenderaan Hilux digunakan dalam operasi berkenaan.





