
KUCHING: Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berhampiran Bangunan Dirgahayu, Jalan Batu Lintang di sini, musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.51 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang bersama bantuan BBP Padungan segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi pada 4.54 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat berkeluasan anggaran 30 x 50 kaki persegi.
Komander Operasi, PBK I Gajau Jemat melaporkan kebakaran telah merebak sehingga 80 peratus daripada keseluruhan struktur bangunan ketika anggota tiba.
Seramai 16 anggota terlibat dalam operasi pemadaman yang menggunakan dua Jentera Bomba Penyelamat (FRT) dan satu unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Kerja pemadaman dan pengawalan kebakaran segera dijalankan bagi mengelakkan api merebak ke premis berhampiran.
Setakat laporan awal, maklumat mengenai mangsa dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba.
Operasi terkawal dan tamat akan dikemas kini dari semasa ke semasa oleh pihak berkuasa berkaitan.
Oleh Shikin Mahmud