
BAU: Rumah simen yang turut dijadikan sebagai bengkel kereta terbakar kira-kira 80 peratus dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Selalang Lorong 2, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.22 petang sebelum Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau digerakkan ke lokasi.
Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada 2.45 petang dan mendapati kebakaran melibatkan rumah berkeluasan kira-kira 48 kaki x 36 kaki persegi, dengan sebahagian besar struktur telah dijilat api.

Menurut Komander Operasi, Awang Saifull Awang Nusi, kebakaran tersebut turut menjejaskan beberapa unit kenderaan yang berada di dalam bengkel berkenaan.
“Operasi pemadaman dan pengawalan kebakaran segera dijalankan bagi mengelakkan api daripada merebak ke kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Seramai tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan bantuan jentera Jentera Bomba Ringan (LFRT)dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Setakat ini, tiada kecederaan atau mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan. Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.