

MIRI: Sebuah rumah tidak kekal yang dihuni seorang lelaki warga emas musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Tudan Desaras 5B di sini, pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah, panggilan kecemasan diterima pada 10.05 pagi sebelum satu jentera bersama enam anggota dikejarkan ke lokasi sejauh sembilan kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi pada jam 10.14 pagi, pasukan mendapati rumah berukuran sekitar 10×15 kaki itu terbakar 100 peratus.
“Penghuni, Sabi Sang, 68, dilaporkan tiada di rumah ketika kejadian berlaku,” katanya di sini.
Henry berkata, pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran 200 kaki dan satu nozel dengan sumber air daripada tangki jentera.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 10.20 pagi dan operasi tamat pada 11.05 pagi.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling