
LIMBANG: Penghuni rumah di Kampung Patiambun, Limbang selamat selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap rumah mereka dalam kejadian angin kencang malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Limbang, Kapten (PA) Bonnie Madisun berkata, kejadian berlaku sekitar 7.00 petang apabila ribut kuat menyebabkan sebatang pokok tumbang lalu menghempap bumbung rumah tersebut, mengakibatkan kerosakan.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebatang pokok tumbang dan menghempap bumbung rumah penduduk. Pasukan operasi mengambil masa hampir sejam untuk menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi dijalankan oleh sepasukan anggota diketuai Koperal (PA) Mohd Arif Midun, selepas Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Limbang menerima panggilan kecemasan pada 7.39 petang.
Lokasi kejadian terletak sekitar lima kilometer dari PKOD Limbang.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Oleh Adeng Edrus