KOTA SAMARAHAN: Kehidupan Pak Samad semakin bermakna setelah memiliki sebuah rumah baharu yang kini dinamakan ‘Teratak Impian’ di Kampung Baru Hilir, di sini.
Pak Samad atau nama sebenarnya Samat Bujang yang dahulu mendiami sebuah pondok using yang daif.
Menurut Pak Samad dalam nada yang sedih, sebelum ini dia tinggal bersama isterinya, namun malangnya, isteri Pak Samad Allahyarham Sauti Awang Noor tidak berkesempatan melihat kediaman tersebut siap apabila beliau meninggal dunia beberapa hari lalu.
Teratak tersebut dibina atas rasa simpati dan keprihatinan Pusat Khidmat DUN Muara Tuang yang dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang.
Seterusnya, beliau berkata, kediaman tersebut mula dibina sejak 25 Oktober dan siap sepenuhnya pada 10 Disember lepas dengan kos sebanyak RM46,000 dan dengan reka bentuk serta cita rasa yang bercirikan kemodenan ‘English Cottage’.
Sementara itu, beliau memberitahu kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci ‘Teratak Impian Pak Samad’ bahawa, beliau sendiri kerap turun memantau bagi memastikan kediaman tersebut siap mengikut masa yang telah ditetapkan.
Katanya, kehidupan daif Pak Samad telah diketahuinya susulan kisahya dikongsi dalam media sosial sejak tiga tahun lepas.
“Projek seperti ini merupakan yang pertama dilaksanakan bagi membantu golongan yang memerlukan bantuan dan kami akan membuat pemantauan berterusan bagi mengenal pasti golongan tersebut.
“Manakala peralatan dan perabot rumah Pak Samad ini telah disumbangkan ikhlas oleh saya sendiri, isteri dan ahli keluarga termasuk juga kakitangan Pusat Khidmat DUN Muara Tuang,” jelasnya.
Pada ketika itu, Pak Samad memberitahu beliau kini mendiami rumah baharu itu bersama dua orang anak perempuannya yang masih belum mendirikan rumah tangga.
“Saya sangat bersyukur dan merakamkan penghargaaan kepada semua yang terlibat khususnya Pusat Khidmat DUN Muara Tuang yang dipimpin oleh Dato Idris,” jelasnya.