KUCHING: Lapan beranak di Kampung Pantai Pandak kini mampu tersenyum lega apabila rumah yang didiami sebelum ini daif kini berubah wajah apabila dibaiki menerusi Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS).
Antara kerja pembaikan dilaksanakan ialah menggantikan atap rumah yang bocor, struktur dinding dan lantai rumah yang uzur supaya lebih kukuh dan selamat didiami oleh pemilik rumah.
Zaliah Ulis, 45, berkata, beliau menetap di rumah tersebut selama 13 tahun bersama lima anaknya dan salah seorang daripada anaknya merupakan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Jika sebelum ini, rumah yang kami sekeluarga didiami seperti menunggu masa untuk runtuh, rasa tidak selamat dan tidak selesa dengan keadaan yang agak sempit.
“Hendak baiki tetapi tak mampu kerana suami hanya bekerja sebagai nelayan dan hasil pendapat juga tidak mencukupi untuk perbelanjaan keluarga.
Zaliah berkata, bantuan PPRMS itu telah meringankan beban yang dihadapi oleh keluarganya.
Bantuan PPRMS telah dilaksanakan pada Oktober lepas dan kini ia telah siap sepenuhnya, jika dibandingankan dengan keadaan rumah sekarang, kami sekeluarga rasa selamat dan tidak rasa takut untuk menetap di rumah jika dibandingkan sebelum ini.
“Terima kasih kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerana telah membantu keluarga kami untuk mendapatkan tempat tinggal yang selesa,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaliah memaklumkan bahawa anak OKUnya menghidapi penyakit Hurler Syndrome (MPS 1) tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM).
“Sebelum ini Nuri Shafaraziah Abdullah, 5, pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan sebanyak RM150 sebulan namun begitu bantuan ini dihentikan setelah anaknya masuk ke sekolah Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
“Saya berharap agar pihak kerajaan dapat membantu untuk meringankan beban kami sekeluarga dengan menampung kos rawatan perubatan anak saya ini, jika dilihat dalam sebulan sahaja kos perubatan mencecah RM1,800.
“Sekiranya tidak ada ubat, anggota badan kemungkinan akan terencat dan tidak ada pembesaran serta kemungkinan akan cacat,” katanya.
Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi memaklumkan terdapat dua PDK di kawasan itu belum menerima bantuan daripada pihak JKM.
“Di kawasan Pantai Damai ini terdapat dua PDK iaitu PDK 1Malaysia dan PDK Kampung Buntal didapati bahawa bantuan bulanan yang selalunya disediakan untuk pelatih kita kepada PDK ini berhenti sejak Mac lalu.
“Sebahagian daripada ibu bapa mengadu mereka tidak menerima bantuan ini, jadi saya akan mengadakan lawatan susulan untuk mendapat maklumat daripada JKM mengenai perkara ini dan dalam keadaan seperti ini bantuan ini sepatutnya diteruskan seperti biasa,” katanya.
Oleh Jeakqleyn Yacho