
Anggota polis mengawal bangunan yang terbakar di Mataram, Lombok, Indonesia. - Foto AFP
JAKARTA: Kediaman beberapa Ahli Parlimen Indonesia menjadi sasaran kemarahan orang ramai susulan gelombang protes berhubung gaji dan elaun mewah wakil rakyat yang semakin memuncak.
Kelmarin, ratusan orang dilaporkan menyerbu rumah ahli parlimen, Uya Kuya di Duren Sawit, Jakarta Timur, sebelum melakukan vandalisme dengan memecahkan pintu, merosakkan pagar dan mencuri barangan miliknya.
Memetik Jakarta Globe, kumpulan protes itu melarikan barangan elektronik dan pakaian, manakala pihak polis serta tentera hanya tiba kira-kira sejam selepas kejadian.
Pada masa sama, rumah Eko Patrio di kawasan elit Mega Kuningan, Jakarta Selatan turut diceroboh dengan barangan seperti peti sejuk, bagasi, pakaian dan tong gas dibawa lari.
Kedua-dua mereka yang juga anggota Parti Amanat Nasional (PAN) menerima kecaman hebat selepas tular rakaman mereka menari ketika sidang parlimen berlangsung.
Alamat kediaman mereka turut tersebar di media sosial selepas insiden rumah ahli Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR RI) daripada Parti NasDem, Ahmad Sahroni di Kebon Bawang, Tanjung Priok, Jakarta Utara diserbu orang ramai pada hari sama.
Video yang tular menunjukkan kumpulan perusuh merobohkan pagar rumah Ahmad, memecahkan tingkap dan membawa keluar pelbagai barangan termasuk televisyen, peti sejuk serta peti besi.
Beberapa kenderaan yang diparkir di garaj rumahnya juga rosak selepas dilempar batu oleh perusuh yang memenuhi kawasan kejiranan itu.
Ahmad sebelum ini dikecam kerana menggelar individu yang mahu pembubaran DPR sebagai ‘orang tolol sedunia’.
Difahamkan kontroversi itu memaksa Parti NasDem menarik balik jawatannya sebagai Timbalan Ketua Komisi III DPR RI pada 29 Ogos lalu dan menempatkannya ke Komisi I.
Sementara itu, Uya dan Eko masing-masing tampil memohon maaf secara terbuka di Instagram namun permohonan itu gagal meredakan kemarahan orang ramai.
Ahli Parlimen lain, Nafa Urbach turut memohon maaf selepas menyokong cadangan elaun perumahan bulanan sebanyak 50 juta rupiah (kira-kira RM14,000) yang mencetuskan kemarahan ramai.
Protes yang bermula pada 25 Ogos kini merebak ke beberapa bandar besar lain termasuk Cirebon, Brebes, Solo, Kediri, Malang dan Makassar.