
SIBU: Rukun Tetangga digesa untuk terus memperkukuh semangat kejiranan dan perpaduan dalam komuniti, agar nilai harmoni yang menjadi tunjang masyarakat kekal terpelihara walaupun berdepan cabaran zaman moden.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang, berkata semangat Rukun Tetangga bukan sekadar simbol gotong-royong, tetapi lambang kekuatan sosial yang menjadikan masyarakat hidup aman dan saling menjaga antara satu sama lain.
“Saya masih ingat ketika membesar di Sibu dahulu. Bunyi wisel Rukun Tetangga bukanlah bunyi yang menakutkan, tetapi bunyi yang membawa rasa selamat. Ia tanda jiran-jiran kita sedang saling menjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga 2025 di sebuah hotel terkemuka di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, konsep kejiranan yang kukuh perlu terus diperkasa bagi menghidupkan semula budaya lama yang semakin pudar dalam masyarakat bandar masa kini.
“Dulu, jiran sering berkumpul, bergotong-royong, dan saling mengenali. Sekarang ramai sudah tidak kenal pun jiran sebelah rumah.
“Sebab itu saya mahu pastikan kemudahan awam seperti taman kejiranan dijaga dan dipulihkan supaya orang ramai kembali berkumpul, bersenam, berbual dan mengeratkan hubungan,” jelasnya.
Katanya lagi, melalui interaksi di taman dan aktiviti komuniti, masyarakat dapat menanam semula rasa saling percaya dan hormat, sekali gus mewujudkan komuniti yang lebih bahagia dan harmoni.
“Bila jiran tiada, kita tolong tengok-tengok rumah mereka. Bila kita tiada, mereka pula membantu kita. Inilah semangat Rukun Tetangga yang sebenar,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Tiang turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli dan sukarelawan Rukun Tetangga atas dedikasi mereka menjaga keselamatan serta keharmonian kawasan masing-masing tanpa mengharapkan balasan.
“Anda semua ialah wira tanpa nama yang bekerja dengan hati, bukan kerana ganjaran. Saya berterima kasih kerana menjadikan Sibu, bandar kelahiran saya, tempat yang indah untuk didiami,” katanya.
Beliau turut mengingatkan masyarakat agar kekal bersatu menghadapi ancaman baharu seperti penipuan digital, penyebaran berita palsu dan mesej yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Musuh kita kini datang melalui telefon pintar. Sebab itu kita perlu kuat melalui perpaduan,” katanya sambil menggesa agar Rukun Tetangga terus bekerjasama dengan agensi keselamatan dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Oleh Tarani Lanting