MARUDI: Rukun Negara menjadi tonggak perpaduan kaum dengan tujuan setiap rakyat di negara ini menyedari, menerima dan memahami hakikat bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Negara ini adalah satu rahmat yang perlu dimanfaat bersama.
Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi, PPgB, Maureen Sin Ah Lian berkata, namun sekarang apabila negara dilanda gelombang Covid-19, seluruh negara terkesan dari segi sosial ekonomi global dunia.
Kata Maureen, pandemik Covid-19 mendatangkan kesan kepada ekosistem perniagaan domestik seperti industri makanan dan minuman, industri pembinaan dan pembuatan, industri pelancogan serta industri pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.
Justeru, Maureen turut menekankan bahawa anggota bomba turut memainkan peranan selain menangani kecemasan memadam kebakaran dan menyelamat mangsa kemalangan tidak mengira tempat, mereka juga menjadi petugas barisan hadapan dalam memutuskan rantaian Covid 19.
Katanya, anggota bomba Marudi turut berdepan cabaran baharu dalam memastikan keselamatan diri ketika melaksanakan penugasan kecemasan harian dan cabaran penugasan Covid-19.
“Oleh itu, persiapan rapi sudah dilakukan ke arah pelaksanaan norma baharu dalam memerangi Covid-19,” katanya.
Maureen berkata, tema sambutan tahun ini ‘Malaysia Prihatin’ yang mana Malaysia membawa pengertian seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi Covid-19, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan mahupun orang perseorangan.
“Prihatin pula mewakili keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kesejahteraan dan Kebajikan rakyat melalui inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelansungan hidup rakyat”, katanya.
Tegasnya, gabungan perkataan ‘Malaysia’ dan prihatin menggambarkan seluruh rakyat turut sama memerangi wabak itu serta kecaknaan kerajaan dengan melakukan pelbagai inisiatif.
Maureen berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis perasamian program ‘Info On Wheels’ (IOW) peringkat BBP Daerah Marudi diadakan di pekarangan BBP Marudi, semalam.
Dalam pada itu, Maureen menegaskan bahawa normal baharu ini bukan sekadar suka-suka kerana ia kaedah paling berkesan untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 yang menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih jauh menemui penamatnya.
Katanya, jika norma baharu ini terpaksa diamalkan lebih lama sekali pun tidak akan menjadi masalah kerana ia sekurangnya dapat melatih masyarakat untuk jadi lebih berdisiplin menaaga kebersihan diri.
“Ia adalah termasuk kerelaan kendiri untuk mengantung Jalur Gemilang di kediaman masing-masing, premis perniagaan mahu pun kenderaan peribadi sebagai tanda meraikan bulan kebangsaan yang sedang kita raikan pada ketika ini sehingga 16 September depan iaitu sambutan Hari Malaysia,” katanya.
Ujar Maureen, secara sukarela ini amat penting dan merupakan manifestasi kasih rakyat kepaada Negara.
Maureen berharap semangat patriotisme dan cintakan negara perlu sentiasa disemai agar masyarakat tidak mudah lupa dan hanyut dibuai nikmat kemerdekaan.
“Sebagai rakyat yang cintakan tanah air, saya mengambil kesempatan ini mengesa agar kita dapat sama-sama menjayakan kempen Bulan Kebangsaan dan kibar Jalur Gemilang,”seru Maureen.
Program tersebut anjuran bersama pejabat Penerangan Marudi dan BBP Marudi yang turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Marudi, Zaini Morshidi.