SABAK BERNAM: Selepas menanggung kerugian hampir RM400,000 dalam perniagaan pakaian pada 2023, pasangan suami isteri Muhammad Akram Shairi dan Siti Farhana Masud Hayati tidak menyangka keputusan untuk membuat siaran langsung menggoreng kerepek pisang di belakang rumah menjadi titik kebangkitan mereka.
Bermula dengan hanya 30 kilogram (kg) tempahan pada sesi siaran langsung pertama pada Mac 2025, permintaan meningkat kepada 60 kg pada keesokan harinya dan kini pasangan itu mampu memproses kira-kira 200 kg pisang sehari di kilang Nekyahh Kerepek di Parit 6 Tebuk Pulai, di sini.

Muhammad Akram, 32, berkata ketika memulakan perniagaan kerepek, dia dan Siti Farhana, 26, hanya bergantung pada sumber yang ada termasuk mendapat bekalan pisang secara bayaran mingguan sebelum menggoreng dan menjual produk berkenaan menerusi platform TikTok.
“Ramadan tahun lepas kami buatsiaran langsung menggoreng kerepek dan terus mendapat tempahan 30 kg. Keesokannya, kami ambil seorang pekerja selepas mendapat tempahan 60 kg dan sejak itu tempahan terus meningkat sehingga kami terpaksa tambah pekerja untuk memenuhi permintaan,” katanya kepada Bernama.

Bapa kepada dua anak itu berkata kejayaan tersebut amat bermakna buat mereka selepas melalui pengalaman sukar dalam perniagaan terdahulu yang hampir menyebabkan mereka kehilangan sumber pendapatan.
Mengenang kembali detik sukar itu, Muhammad Akram berkata ketika persiapan Aidilfitri tahun lepas, mereka hanya mempunyai RM60 di dalam poket, manakala wang daripada jualan dalam talian masih belum boleh dikeluarkan.

“Saya cakap kepada isteri, kita buat-buat sibuk goreng kerepek dekat belakang rumah supaya apabila saudara-mara tanya, kami ada alasan kononnya tempahan terlalu banyak. Sebenarnya kami mengelak sebab tiada duit raya nak diberi kepada anak saudara,” katanya.
Pengalaman itu mengajar mereka supaya lebih berdisiplin dalam mengurus aliran tunai dan tidak terburu-buru menggunakan keuntungan untuk mengembangkan perniagaan.

Kini, Nekyahh Kerepek mampu mencatat jualan antara RM130,000 hingga RM136,000 sebulan, bergantung pada bekalan bahan mentah dan permintaan semasa.
Pertumbuhan perniagaan itu turut memberikan limpahan manfaat kepada penduduk setempat apabila pasangan berkenaan kini menggaji 14 pekerja berusia antara 24 hingga 66 tahun, termasuk ibu tunggal.
“Bagi kami, pengambilan warga emas bukan sekadar memenuhi keperluan tenaga kerja, tetapi memberi mereka peluang untuk terus memperoleh pendapatan tanpa melakukan pekerjaan yang terlalu berat,” kata Muhammad Akram yang turut mengusahakan kebun pisang di Kampung Gajah, Perak bagi membantu memenuhi keperluan kilang. – Bernama





