

-FOTO BERNAMA
SABAK BERNAM: Seorang peniaga warung kerugian sekitar RM120,000 selepas rumahnya rosak teruk akibat ribut yang melanda Parit 4, Sekinchan awal pagi tadi.
Menyifatkan sebagai ujian Ramadan, Azman Mastol, 58, berkata ini adalah kali pertama bencana seumpamanya berlaku sepanjang dia membesar di kawasan berkenaan dengan ketika kejadian, dia dan isteri berada di rumah anak sulung mereka di Putrajaya.
“Saya bergegas pulang sebaik dimaklumkan jiran, dan sejurus tiba, saya lihat bumbung terutamanya di bahagian dapur musnah manakala di dalam rumah sudah digenangi air akibat hujan lebat yang merosakkan perabot serta barangan elektrik.
“Saya sedih kerana rumah ini menjadi tempat anak cucu berkumpul ketika Aidilfitri. Melihat keadaan rumah, saya rasa mungkin tahun ini kami terpaksa beraya di rumah anak di Putrajaya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Sementara itu, G. Rani, 40, pula menyifatkan kejadian itu sebagai amat menakutkan apabila angin bertiup sangat kencang dan ini membuatkannya segera menyelamatkan anak perempuannya berusia empat tahun yang ketika itu tidur di tingkat atas.
“Saya terus bawa anak turun bersama ahli keluarga yang lain dan kami hanya mampu berdoa di ruang tamu rumah supaya selamat daripada bencana ini,” katanya.
Berkongsi detik cemas kejadian itu, B. Murukayah menjelaskan, ribut berkenaan menerbangkan atap rumahnya sekali gus memusnahkan bahagian dapur kediaman yang dihuni lima beranak berkenaan.
Mekanik motosikal itu berkata, kejadian itu tidak ubah seperti dalam filem apabila serpihan dinding serta atap rumah dan sampah berterbangan dibawa angin kuat diikuti percikan api daripada kabel elektrik.
“Saya cuma fikir keselamatan keluarga sahaja dan kami kekal duduk di dalam rumah, situasi itu memang sangat menakutkan sebab kita tidak tahu hendak lari ke mana,” jelasnya.
Sementara itu, kebanyakan bumbung kediaman di kawasan berkenaan rosak, selain banyak kelengkapan rumah terjejas kerana kejadian berlaku ketika hujan lebat.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, kejadian yang menjejaskan lapan rumah itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan kecederaan dengan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.48 pagi.
– BERNAMA
