
LAWAS: Pasukan Rudal D.9 dari Limbang mengekalkan keunggulannya apabila menjuarai Pertandingan Tarik Tali Tertutup Sarawak 2025, sekali gus mengesahkan reputasi mereka sebagai pasukan tarik tali terbaik negeri.
Perlawanan akhir menyaksikan Rudal D.9 menewaskan Luntau Borneo dengan keputusan 2-0, hasil gabungan ketenangan dan teknik mantap sepanjang perlawanan. Tempat ketiga dimenangi Greenhead 2, yang menundukkan Pipewrench O&G dengan keputusan sama.

Perlawanan akhir dikendalikan oleh pengadil kebangsaan Tarik Tali Malaysia, Awang Noorsaini B. Abdul Gani, daripada Persatuan Tarik Tali Sarawak dan sebanyak 10 pasukan bertanding pada edisi kali ini.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Kelab Tarik Tali Bukit Sari Lawas, dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat N.82 Bukit Sari, Majlis Daerah Lawas, dan DUBS Cawangan Lawas.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, manakala penyampaian hadiah diberikan oleh Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Cawangan Bukit Sari, Kr Awang Ibrahim bin Ahmad.

Pasukan Rudal D.9, yang sebelum ini memenangi tempat kedua kejohanan tarik tali kebangsaan dan mewakili Malaysia B kategori antarabangsa di Langkawi minggu lalu, dianggotai oleh Arlisam Damit, Abduk Harriq Nasution, Domen Belenti, Mahyudin Abdul Aziz, Adeb Narudin, Mohamad Shadiqiee Azaman, Roy Robert, Syahabuddin Mohamad Ali, Saddam Hussien Jumat, dan Heryanto Abdul Jalil, dengan berat keseluruhan pasukan 754 kg.
Turut hadir Pengerusi Kelab Tarik Tali Bukit Sari, KK Amran Basir, Pengerusi DUBS Cawangan Lawas, Semie Nasip, dan Ahli Majlis Daerah Lawas, Kr Awangku Mohd Ariffin Dato Pengiran Jawa.
Oleh Adeng Edrus