SAMARAHAN: Kira-kira 90 peratus komuniti kategori belia Kota Samarahan menyertai kesemua program sukan dan aktiviti sosial anjuran jentera Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Penyandang merangkap calon GPS kerusi Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, jumlah itu merangkumi sambutan golongan belia di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang tempoh dua bulan dilaksanakan.
Selaras dengan jumlah penyertaan itu katanya, usaha menyantuni dan meningkatkan peratusan pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berjalan lancar dan memberikan keputusan positif bagi golongan pengundi muda untuk turun mengundi.
“Program dan aktiviti yang dilakukan adalah selaras dengan keperluan belia kita.
“Antaranya pertandingan futsal, bola sepak, program sosial, dan program kemahiran. Dua bulan ini kita laksanakan aktiviti kumpulan muda sahaja termasuk pertandingan e-sukan.
“Apa yang kita dapati penyertaan dari Asajaya dan Muara Tuang mencapai hampir 90 peratus mereka (belia) keluar untuk bersama menyertai program ini,” katanya mengulas mengenai usaha meningkatkan peratusan pengundi untuk turun mengundi di kawasan Parlimen Kota Samarahan.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Tuisyen Rakyat dan Seminar Motivasi SPM 2022 peringkat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Bahagian Samarahan, di sini hari ini.
Katanya, peserta memberi respons positif terutama dari kawasan luar bandar.
Selain itu kata Rubiah, pihaknya turut menggunakan khidmat pegawai perhubungan (Liason Officer) khususnya ditempatkan di kawasan perumahan bagi tujuan memberi maklumat kepada pengundi berkaitan pendaftaran, pusat pengundian di samping memperkenalkan calon-calon yang bertanding.
“Setakat ini, respons amat bagus sekali di peringkat ketiga-tiga DUN bukan sahaja termasuk kawasan perumahan, malah pengundi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memberi respons yang baik,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan media sosial turut digunakan untuk mendekati pengundi yang kini kebanyakan aktif dalam penggunaan media sosial sebagai ‘wadah permainan’ dalam kehidupan harian.
Rubiah bedrkata, program turun padang juga giat dilaksanakan termasuk bantuan ketiga-tiga wakil rakyat DUN di Parlimen Samarahan serta penganjuran program dan aktiviti sosial oleh jentera parti serta badan bukan kerajaan (NGO).
Untuk rekod, jumlah pengundi di Samarahan kini mencecah peningkatan sekali ganda iaitu kira-kira 82,000 pengundi.
Oleh Mohd Neenatul Aizal