
KOTA SAMARAHAN: Penubuhan kelab bola sepak tersohor Manchester City yang bermula pada tahun 1880 bagi menangani isu jenayah dalam kalangan belia wajar dijadikan inspirasi untuk memperkukuh peranan anak muda dalam usaha pencegahan jenayah di peringkat komuniti.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang pendekatan serupa boleh dilaksanakan di Samarahan melalui penubuhan kelab belia berteraskan sukan bagi menarik penyertaan golongan muda ke arah aktiviti yang lebih sihat dan bermanfaat.
“Kalau mereka boleh mulakan dengan bola sepak, kita di Samarahan juga boleh tubuh ‘Tanjung Bundong City’ atau ‘Belia Samarahan United’.
“Golongan belia bukanlah punca masalah, sebaliknya merupakan sebahagian daripada penyelesaian kepada isu sosial seperti jenayah siber dan penagihan dadah yang kian membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian di Program Townhall Discussion ‘Jom Berambeh Mencegah Jenayah’ Tahun 2025 anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak bersama Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan Pejabat Daerah Kota Samarahan, hari ini.

Beliau mengulas lanjut bahawa sepanjang tahun lalu, lebih 2,000 kes penipuan atas talian direkodkan di Sarawak melibatkan kerugian RM36 juta dengan pesara, wanita dan pelajar antara yang paling ramai menjadi mangsa.
“Selain itu, lebih 6,000 penagih dadah turut direkodkan pada 2023 khususnya di kawasan pinggir bandar seperti Kota Samarahan.
“Zaman sekarang bukan seperti dulu. Jenayah berlaku bukan hanya di lorong gelap tetapi juga di hujung jari. Ramai yang dirompak melalui telefon dan media sosial,” jelasnya.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan turut menyokong penggunaan teknologi dalam usaha pencegahan jenayah termasuk aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) oleh PDRM.
Beliau turut menggesa anak muda untuk menyertai program seperti Polis Kadet, Rakan Cop dan sukarelawan komuniti bagi memainkan peranan lebih aktif dalam mewujudkan persekitaran yang selamat.
Turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata, wakil Residen Bahagian Samarahan Anuar Da’an dan Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak.
Oleh Masrin Affirah