Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Ruang makan eksklusif, Tables & Tales rasmi dibuka di The Spring
  • Selatan
  • WILAYAH

Ruang makan eksklusif, Tables & Tales rasmi dibuka di The Spring

Utusan Sarawak 1 day ago
SESI pemotongan reben dan tarian singa menandakan pembukaan rasmi Tables & Tales hari ini.

KUCHING: Tables & Tales yang terletak di Pusat Beli-Belah The Spring dirasmikan hari ini dengan membawa konsep ruang makan berkurasi tinggi yang menggabungkan elemen rustik dan moden dalam suasana selesa dan mesra pengunjung.

Ruang berkeluasan 10,000 kaki persegi itu dibangunkan dalam tempoh lebih enam bulan di kawasan sebelum ini yang tidak digunakan secara optimum.

Kini ia tampil sebagai satu tarikan baharu dengan reka bentuk yang diinspirasikan daripada rumah tradisional berunsurkan alam semula jadi dikenali sebagai ‘Lin Hei’.

ELVINA Ngo ketika ditemui media, hari ini selepas merasmikan pembukaan Tables & Tales.

Dengan gabungan pencahayaan semula jadi, tekstur kayu dan tanaman hijau yang menyegarkan, ruang dalaman Tables & Tales disusun agar pengunjung merasai kehangatan dan keselesaan sepanjang waktu berada di situ.

Sebanyak lapan gerai ditawarkan di bawah satu bumbung meliputi pelbagai pilihan seperti pasta buatan tangan, piza, grill, makanan Thai, wafel serta bar. 

Semua menu dipilih khas oleh pasukan Food Journal yang turut bekerjasama dengan perunding makanan profesional bagi memastikan setiap hidangan dihasilkan secara segar dan eksklusif.

Menurut Pengurus Besar Eksekutif Food Journal, Elvina Ngo, pihaknya mahu membezakan tempat itu daripada konsep medan selera biasa.

“Kami tidak beli sos tomato dalam tin untuk digunakan dalam piza. 

“Segala-galanya termasuk sup, stok ayam dan pastri dibuat sendiri di dapur kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pembukaan restoran itu hari ini.

Antara kelainan lain yang ditampilkan termasuk penggunaan bahan segar sepenuhnya termasuk hasil laut seperti udang yang dikupas sendiri oleh staf dapur. 

Keju yang digunakan juga dibawa khas dari tempat pilihan mereka bagi mengekalkan standard rasa dan kualiti hidangan.

BUKAN hanya dari segi estetik, persekitaran restoran turut memberi rasa tenang dan mesra kepada pelanggan.

Selain menjamu selera, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan muzik secara langsung setiap hujung minggu. 

Persembahan kugiran diadakan pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, manakala juruputar muzik (DJ) pula dibawa masuk khas pada hari Ahad bagi mencipta suasana santai dan segar ketika waktu makan malam.

Ruang makan ini boleh menampung sehingga 280 orang pada satu-satu masa, namun susun atur tempat duduk diatur dengan teliti agar tidak menimbulkan rasa sesak. 

Sistem pesanan dan pencahayaan turut dibangunkan secara dalaman oleh pasukan Food Journal.

Pencahayaan digital digunakan untuk menyesuaikan mood ruang mengikut waktu siang dan malam bagi memastikan keselesaan maksimum kepada pengunjung.

Elvina berkata cabaran utama dalam menjayakan projek berskala besar ini ialah dari segi kawalan bajet, namun perancangan berfasa membolehkan mereka mengurus proses pembinaan dengan lebih cekap.

Beliau turut menyatakan hasrat menjadikan Tables & Tales sebagai ruang yang bukan sahaja menghimpunkan makanan berkualiti, malah sarat dengan nilai seni dan pengalaman.

“Kami mahu pelanggan datang bukan sekadar makan, tapi turut merasai cerita yang kami bawa dalam setiap sudut, setiap pinggan. 

“Food Journal bukan sekadar hidangan, tetapi satu naratif yang kami bina sejak 10 tahun lalu,” ujarnya.

Maklum balas yang diterima setakat ini sangat positif dan pihaknya sedang merancang untuk memperkenalkan merchandise serta bengkel kreatif sebagai sebahagian daripada perancangan masa depan.

Walaupun belum ada pelan segera untuk pengembangan ke lokasi lain, Elvina tidak menolak kemungkinan itu jika ada peluang sesuai kelak.

Oleh Amanda L.

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: IKMa anjur Bengkel Koperasi Kariah Masjid di Sibu
Next: JPJ Miri jalankan ujian saringan air kencing bersama AADK

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.