‘Ruai House of Sarawak’ martabatkan warisan kulinari Bumi Kenyalang

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas ketika berucap semasa perasmian pembukaan Ruai House of Sarawak di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir ialah Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, serta Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR: Warisan kulinari Sarawak terus melakar sejarah di pentas nasional apabila Ruai House of Sarawak dibuka secara rasmi sebagai platform memperkenalkan keunikan budaya, gastronomi dan identiti negeri itu kepada masyarakat Malaysia serta pelancong antarabangsa.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, makanan tradisional bukan sekadar memenuhi selera, sebaliknya berperanan sebagai medium penting dalam memperkenalkan sejarah, budaya serta cara hidup masyarakat Sarawak kepada masyarakat yang lebih luas.

Beliau berkata, pembukaan Ruai House of Sarawak membuktikan warisan kulinari mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang, selain mempromosikan kekayaan budaya negeri itu di ibu negara.

Menurutnya, lokasi restoran berkenaan yang berhadapan dengan Padang Merdeka memberi nilai simbolik tersendiri kerana kawasan itu sarat dengan sejarah dan kini menjadi sebahagian daripada lembaran baharu dalam usaha memperkenalkan budaya Sarawak.

“Berhadapan dengan Padang Merdeka, sebuah kawasan yang kaya dengan sejarah, dan anda kini menjadi sebahagian daripada sejarah itu.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas menyempurnakan majlis perasmian Ruai House of Sarawak yang mengetengahkan sajian autentik serta warisan budaya Sarawak di ibu negara. Foto Parlimen Malaysia

“Jika anda dapat mencipta sejarah dari sekarang hingga ke masa hadapan, saya percaya seluruh rakyat Sarawak akan mengingati peranan anda dalam membawa budaya Sarawak dan Dayak ke Kuala Lumpur,” katanya ketika merasmikan pembukaan restoran itu hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, serta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Uggah berkata, konsep “ruai” yang diinspirasikan daripada ruang komuniti di rumah panjang Sarawak membawa makna mendalam kerana melambangkan semangat kebersamaan, tempat masyarakat berhimpun, berkongsi cerita dan mengeratkan hubungan.

Katanya, falsafah tersebut diterjemahkan menerusi pengalaman gastronomi yang bukan sahaja menawarkan sajian autentik Sarawak, malah memperkenalkan kisah warisan, budaya dan identiti negeri itu kepada setiap pengunjung.

Beliau berkata, kewujudan Ruai House of Sarawak turut membuka peluang kepada komuniti Sarawak yang menetap di Kuala Lumpur untuk menikmati hidangan tradisi negeri sendiri tanpa perlu pulang ke kampung halaman.

DATUK Amar Douglas Uggah Embas bersama tetamu kehormat pada majlis pembukaan Ruai House of Sarawak di Kuala Lumpur. Foto Parlimen Malaysia

Pada masa sama, katanya, restoran itu berpotensi menjadi destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin mengenali keunikan budaya serta cita rasa asli Bumi Kenyalang.

“Terdapat kira-kira 30,000 rakyat Sarawak di Kuala Lumpur. Jadi, ini merupakan satu peluang perniagaan yang besar. Saya percaya melalui jaringan dan kerjasama yang dibina, lebih ramai pelancong akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan industri makanan dan gastronomi mempunyai potensi besar sebagai antara pemacu ekonomi kreatif serta pelancongan budaya, sejajar dengan usaha kerajaan Sarawak memperkukuh jenama negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sehubungan itu, Uggah berharap lebih banyak inisiatif seumpama itu dapat diperluaskan bagi memperkenalkan makanan tradisional, produk tempatan dan warisan budaya Sarawak kepada masyarakat luar, sekali gus meningkatkan daya tarikan pelancongan serta membuka peluang ekonomi baharu kepada usahawan negeri itu.

Ruai House of Sarawak yang mula beroperasi sempena sambutan Hari Sarawak baru-baru ini kini muncul sebagai antara destinasi gastronomi yang mengetengahkan sajian autentik negeri itu, sekali gus memperkukuh kedudukan warisan kulinari Sarawak sebagai sebahagian daripada identiti Malaysia di ibu negara.

Oleh Adi Safarman