
BINTANGOR: Kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar terus diberi keutamaan menerusi pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), kata Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii.
Katanya, ia terbukti membawa impak positif kepada komuniti setempat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, komitmen kerajaan Sarawak dan Persekutuan dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, terutamanya dalam menyediakan prasarana yang lebih baik untuk penduduk luar bandar.
“Tumpuan terhadap projek RTP ini adalah bukti kerajaan sentiasa mendengar dan memahami keperluan rakyat Sarawak.
“Kita mahu masyarakat luar bandar menikmati kemudahan yang setara dengan kawasan bandar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Baru-baru ini, Gung Chiu Kion selaku wakil beliau telah menyaksikan penyerahan siap kerja tiga projek RTP di kawasan Meradong iaitu projek menaik taraf gelanggang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kawi, projek menaik taraf laluan pejalan kaki di Rumah Stanley Miran, Sungai Buloh dan projek menaik taraf bangunan Tadika Methodist Bintangor.
“Ketiga-tiga projek RTP tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkasakan sektor pendidikan, sukan dan keselamatan infrastruktur di peringkat komuniti.
“Gelanggang serbaguna yang dinaik taraf memberi peluang kepada para murid melibatkan diri dalam aktiviti sukan dengan lebih selesa dan selamat.
“Laluan pejalan kaki pula penting untuk keselamatan penduduk dan kemudahan harian, manakala tadika merupakan asas pendidikan awal yang harus diberi perhatian,” katanya.
Oleh Earl Anek