RTP RM150,000 tingkat keselamatan, keselesaan penduduk Rumah John Dugol

Facebook
WhatsApp
UNTUK ALBUM…Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau merakam kenangan bersama penduduk rumah panjang John Dugol, Nanga Tutus, Batang Igan, hari ini.

SIBU: Kemudahan kawasan letak kereta konkrit bernilai RM150,000 menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah John Dugol, Nanga Tutus, Batang Igan mampu meningkatkan keselesaan serta keselamatan penduduk, terutama ketika musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Kevin Lau berkata, kemudahan itu amat diperlukan berikutan peningkatan jumlah kenderaan apabila anak-anak perantau pulang ke rumah panjang semasa sambutan Hari Gawai dan Krismas.

“Apabila ramai yang pulang ke rumah panjang semasa musim perayaan, kemudahan parkir yang lebih baik akan memberi keselesaan selain mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Perasmian Jalan RTP di Rumah John Dugol, Nanga Tutus, Batang Igan, hari ini.

Menurut Lau, projek berkenaan berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat antara komuniti setempat, MDLBS dan kerajaan Sarawak.

Katanya, keperluan penduduk terhadap kemudahan itu dikenal pasti ketika beliau mengadakan lawatan ke Rumah John Dugol sekitar dua tahun lalu sebelum permohonan dikemukakan kepada kerajaan Sarawak.

“Walaupun projek RTP lazimnya diperuntukkan kepada wakil rakyat kerajaan negeri, kami tetap berusaha mengemukakan permohonan melalui Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

“Hasil sokongan beliau, permohonan ini diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM150,000 dan kini projek tersebut telah berjaya disiapkan,” katanya.

Lau berkata, projek itu mula dilaksanakan pada Mac 2025 selepas tinjauan tapak dilakukan bersama jurutera MDLBS dan berjaya disiapkan dalam tempoh sekitar empat bulan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah John Dugol serta seluruh komuniti yang memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan projek tersebut.

Menurutnya, kejayaan projek berkenaan membuktikan kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat mampu membawa pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu, Lau berkata, Program Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan serentak turut membawa pelbagai perkhidmatan terus kepada masyarakat setempat, antaranya kaunter jabatan kebajikan, Yayasan Buah Pinggang serta saringan kesihatan.

Katanya, pendekatan itu memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan berkaitan tanpa perlu melakukan perjalanan ke bandar.

Pada masa sama, beliau menyeru masyarakat supaya terus memelihara perpaduan dan keharmonian yang menjadi antara kekuatan utama Sarawak.

Mengimbas pesanan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, Lau berkata masyarakat perlu sentiasa menjaga sensitiviti antara kaum dan agama serta mengelakkan ucapan atau tindakan yang boleh menyinggung perasaan pihak lain.

“Sikap saling menghormati perlu terus dipertahankan bagi memastikan keamanan dan keharmonian yang dinikmati rakyat Sarawak kekal terpelihara,” ujarnya.

Oleh Tarani Lanting