

BINTANGOR: Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, terus memperkasa pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, pelaksanaan projek tersebut mencerminkan keutamaan kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan dalam memastikan setiap komuniti, khususnya di luar bandar menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih baik dan selesa.
“Kita mahu memastikan setiap peruntukan RTP digunakan secara berkesan bagi meningkatkan kemudahan asas rakyat.
“Jalan yang baik bukan sahaja memudahkan pergerakan harian, tetapi juga membantu meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk luar bandar,” katanya ketika dihubungi media.
Tambahnya, lawatan tapak yang dijalankan ini penting bagi memastikan setiap cadangan projek disediakan mengikut spesifikasi dan keperluan sebenar di lapangan sebelum pelaksanaan dijalankan.
“Setiap lawatan tapak yang dijalankan amat penting bagi memastikan cadangan projek disediakan mengikut keperluan sebenar di lapangan sebelum pelaksanaan dibuat oleh agensi pelaksana.
“Lawatan ini bertujuan untuk meninjau keperluan menaik taraf infrastruktur asas, khususnya pembinaan jalan konkrit serta kemudahan awam untuk kemudahan penduduk setempat,” katanya.
Semalam, Tiong Sii diwakili oleh Wong Soon Mee bersama Penolong Jurutera Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Churchill Barrak, meninjau beberapa kawasan di sekitar Meradong bagi mengenal pasti keutamaan kerja menaik taraf infrastruktur asas.
Antara kawasan terlibat termasuklah Jalan Tung Kwong Central di Sungai Padi, Jalan Lau King Ang, Jalan Lau King Mieng, Jalan Chai Hing-Kertong, Jalan cawangan Kai Sian di Sungai Mador, Jalan Wong Sing Ngok di Sungai Tulai, Jalan Lau Bang Long di Sungai Narasit, Jalan Rumah Anthony Muling di Sungai Sekijang, Jalan Rumah Nealy di Sungai Kijang, Jalan cawangan Kai Sing di Sungai Labas, Jalan Kai Yean di Off Jalan KJD, Jalan Lung Hing di Batu 3 Jalan KJD serta Jalan cawangan Skim B.
Selain pembinaan jalan konkrit, lawatan turut melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Min Daik bagi projek penambahbaikan prasarana sekolah dan tapak Rumah Lawi Chong di Sungai Jerangku, Batu 5 Jalan KJD untuk kerja menaik taraf kawasan parkir kenderaan.
Oleh Earl Anek