
SARIKEI: Lima projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 diserahkan kepada kontraktor pelaksana melalui lawatan tapak.
Projek tersebut dilaksanakan bagi menaik taraf kemudahan komuniti setempat, institusi pendidikan, rumah ibadat dan infrastruktur sukan di kawasan Repok.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok telah diwakili oleh pasukan Pusat Khidmat Repok yang diketuai Kapitan Ling Dien Yong bagi menyaksikan proses serah tapak kepada kontraktor dilantik.
Menurut jurucakap Pusat Khidmat Repok, pelaksanaan projek RTP ini merupakan komitmen berterusan kerajaan untuk menambah baik kemudahan asas yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.
“Projek-projek ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat, tetapi juga menyokong pembangunan sosial serta mempertingkatkan kesejahteraan komuniti di kawasan Repok.
“Usaha ini menunjukkan sokongan berterusan daripada Dato’ Sri Huang Tiong Sii terhadap pembangunan rumah ibadat, pendidikan dan sukan sebagai sebahagian daripada agenda memperkasa komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Antara projek yang telah diserahkan termasuk pembinaan tembok tanah di Sarawak Full Gospel Church, naik taraf pintu masuk bangunan Persekutuan Persatuan Wanita Sarikei (PPWS) merangkumi pemasangan pagar, pintu pagar keluli tahan karat serta kerja premix di jalan masuk.
Selain itu, turut dilaksanakan kerja pembinaan tembok tanah dan pemasangan jubin lantai koridor di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Su Ming.
Antara projek lain, Stadium Bola Keranjang Repok turut menerima kerja pendawaian elektrik dan pengecatan lantai gelanggang, manakala tapak perkuburan Kong Fock akan dibangunkan tandas serta naik taraf jalan masuk ke kawasan tersebut.
“Pelaksanaan projek-projek ini akan dipantau bagi memastikan kualiti kerja serta jadual pelaksanaan dipatuhi mengikut perancangan,” katanya.
Turut hadir Penolong Jurutera Majlis Daerah Sarikei (MDS), Joviana Joklin dan Konselar Anthony Suding.
Oleh Earl Anek