KUCHING: Radio Televisyen Malaysia (RTM) kekal relevan dan mampu terus menjadi platform menyalurkan maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.
Menteri Muda Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, selama ini RTM memang sentiasa menyokong kerajaan Sarawak termasuk semasa Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12).
“Terima kasih kepada RTM kerana memberi sokongan dengan liputan yang menyeluruh kepada calon-calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya negeri lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Sukan Antara Rumah RTM Kuching anjuran Kelab Rekreasi RTM Kuching pada Isnin.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, RTM juga kerap membuat liputan untuk majlis di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai dan Kementerian Utiliti.
Sementara itu, beliau turut memuji RTM yang berjaya menganjurkan pertandingan sukan melibatkan kakitangan.
“Ia merupakan usaha yang baik untuk mengamalkan gaya hidup sihat selepas terhenti hampir dua minggu,” ujarnya.
Sebanyak 10 acara sukan dipertandingkan sepanjang dua bulan dan ia sebagai persiapan untuk Sukan RTM Peringkat Kebangsaan akan datang.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kejuruteraan Radio RTM Azmi Ahmad dan Pengerusi Kelab Rekreasi RTM Kuching Zaidi Bujang.