
MIRI: Rukun Tetangga (RT) perlu kekal sebagai tonggak kesepaduan sosial seiring aspirasi Kerajaan MADANI, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan moden yang semakin kompleks.
Sejak ditubuhkan pada 1975, RT berkembang daripada sebuah platform keselamatan kejiranan kepada gerakan sosial yang melaksanakan pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan, kebajikan dan pembangunan ekonomi komuniti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata RT bukan sekadar struktur organisasi, sebaliknya merupakan ekosistem sosial yang hidup dan berperanan menghubungkan rakyat dengan kerajaan serta memperkukuh keharmonian dan tanggungjawab sosial.
“Dalam kerangka Malaysia MADANI yang menekankan nilai kesejahteraan, hormat, ihsan, kasih sayang dan keyakinan, RT perlu menjadi agen pelaksana perpaduan di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Solidariti Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga Peringkat Bahagian Miri, di sini semalam.
Tambahnya, RT diharap terus memainkan peranan sebagai penggerak perpaduan melalui aktiviti silang budaya, pelindung komuniti melalui rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS), serta pendidik generasi muda mengenai kepentingan toleransi dan keharmonian.
“Tarik lebih ramai golongan muda menyertai kepimpinan RT bagi memastikan kesinambungan dan aliran idea baharu dalam usaha memupuk perpaduan komuniti. Para belia membawa inovasi dan semangat baharu untuk memperkukuh serta mengekalkan keharmonian antara kaum,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengiktiraf peranan wanita dalam menggerakkan kegiatan RT, yang disifatkan sebagai tulang belakang jaringan sosial dan kebajikan masyarakat.
Majlis berkenaan turut menghargai jasa dan sumbangan ahli-ahli RT yang memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti harmoni sepanjang lima dekad kewujudannya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew; Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang; Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak, Giri Nyareng; Pegawai JPNIN Miri, Wilfred Ugap; serta 800 ahli KRT Bahagian Miri.
Oleh Adum Liu